KELUARGA Mukmin perlu diwujudkan kerana sering kali kita mendengar masyarakat mengaitkan gejala keruntuhan rumah tangga dan akhlak di kalangan remaja akibat kegagalan sistem kekeluargaan.
Peranan keluarga Mukmin dalam membentuk keluarga bertakwa sememangnya tidak dinafikan. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” – (Surah al-Tahrim, ayat 6) .
Keluarga Mukmin ada identitinya tersendiri yang mewujudkan suasana penghayatan Islam di dalam rumah tangga menerusi aktiviti yang menjurus ke arah menerapkan nilai Islam. Aktiviti itu seperti menghidupkan sembahyang berjemaah, membaca al-Quran bersama di rumah, membaca buku agama beramai-ramai, makan bersama dan memberi salam ketika masuk atau meninggalkan rumah. Dalam erti kata lain, sesebuah keluarga berperanan mewujudkan suasana kerohanian, kepatuhan terhadap pelaksanaan syariat, penerapan nilai mulia dan adab keislaman dalam diri dan ahli keluarga.
Keluarga Mukmin juga ialah keluarga yang sentiasa menjauhkan makanan haram dan syubahat. Setiap ahli rumah tangga Mukmin itu takut kepada perkara haram seperti takutnya seseorang kepada ular berbisa yang mencari mangsa. Isteri hendaklah sentiasa mengingatkan suaminya supaya jangan mencari rezeki yang haram untuknya dan anaknya walau sebesar biji sawi sekalipun.
Keluarga Mukmin juga menitikberatkan kesihatan dan ibu bapa diingatkan supaya tidak memberi makanan atau minuman berlebihan tetapi ia disediakan secara sederhana, sekadar memenuhi keperluan tenaga dan pembesaran.
Selain itu, sesebuah keluarga hendaklah sentiasa melihat tanda-tanda penyakit yang ada pada keluarganya supaya ia dapat dicegah lebih awal. Peka terhadap pencegahan penyakit adalah antara ciri utama kepada sebuah keluarga bahagia.
Keluarga Mukmin juga mementingkan pergaulan baik antara ahli, suami bergaul dengan penuh adab sopan dengan isteri, jangan mengeluarkan kata kesat atau menyakitkan hati isteri. Apabila isteri melakukan kesilapan, maka hendaklah diperbetulkan dengan baik dan bijaksana.Bagi pihak isteri pula, hendaklah sentiasa melayan suami untuk mendapat keredaan Allah, tidak mudah melenting, mengamuk apabila kehendaknya tidak dituruti, sentiasa menjaga kehormatan diri, suami dan keluarga, menghargai pendapat suami dan meluangkan masa untuk bermesra dan memberi layanan kepada suami dan anak. Bagi anak pula, wajib berbuat baik terhadap ibu bapa kerana ibu bapa sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ibu bapa sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, yang semua itu adalah untuk kebahagiaan anaknya.
Keluarga Mukmin sentiasa mewujudkan suasana kedamaian dan sekali gus menjauhkan permusuhan, zalim menzalimi antara satu sama lain dan tidak memutuskan hubungan silaturahim. Adalah menjadi kewajipan bagi suami dan isteri menghubungkan silaturahim dengan kerabat daripada kedua-dua belah pihak.
Keluarga Mukmin sentiasa mewujudkan suasana kegembiraan, ada gurau senda, sabar dan reda dengan segala qada dan qadar Allah. Sekiranya kita dapat mengukir senyuman pada saat kritikal, perbuatan itu dapat membantu menenangkan fikiran. Di samping itu, Islam menggalakkan ahli keluarga mengadakan aktiviti rekreasi secara bersama bagi menimbulkan kesan positif ke arah kesihatan mental dan fizikal. Setiap keluarga wajar mengatur program berkelah ke tempat rekreasi atau lawatan di dalam atau ke luar negeri mengikut kemampuan keluarga.
Keluarga Mukmin sentiasa menitikberatkan kebersihan kerana Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta menjaga kebersihan diri. Oleh itu, Islam menyuruh umatnya membersihkan badan seperti mandi, memotong kuku, mencukur bulu dan berkhatan untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam. Berdasarkan huraian di atas, ada tujuh ciri menggambarkan keluarga itu adalah keluarga Mukmin iaitu menghayati ajaran Islam, menjauhi makanan syubahat, menitikberatkan kesihatan, menghindari penyakit, mewujudkan pergaulan baik, mewujudkan suasana kedamaian dan kegembiraan.