Intro - Sekapur Sireh Seulas Pinang

Keluarga Mukmin merupakan satu khidmat yang kami tawarkan kepada seluruh muslim mukmin dan muslimah mukminah yang berada di Malaysia khususnya dalam membentuk serta membina Keluarga Mukmin sejati menurut perspektif Islam dan berlandaskan syara’. Khidmat ini sebenarnya meliputi semua aspek kehidupan muslim tentang kekeluargaan bermula daripada proses kehidupan seawal-awal usia sehingga perkara yang perlu dilakukan di usia tua kita. Ini kerana pihak kami dapati ramai dikalangan muslimin dan muslimah menghadapi kesukaran dalam mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan untuk merealisasikan keluarga mukmin sejati bermula dari peringkat usia setahun jagung atau anak kecil lagi.

Justeru, kami merasakan perlu dilakukan suatu kaedah berkenaan perkara ini, maka timbulnya satu inisiatif untuk memperkenalkan khidmat keluarga mukmin ini. Dengan wadah ini, kami jadikan khidmat yang kami tawarkan kepada semua peserta meliputi dari perihal nasihat dan bimbingan dalam melahirkan jati diri soleh dan solehah serta permulaan hidup baru dalam sebuah keluarga mukmin. Disamping itu juga, kami memberi bimbingan kepada semua muslimin dan muslimah berkaitan dengan adab menyambut kelahiran serta bagaimana mendidik anak-anak menurut perspektif Islam. Tidak dilupakan juga tentang adab antara menantu dan mertua yang sering dilupakan oleh masyarakat dewasa ini serta menimbulkan banyak kegawatan hubungan serta komunikasi dikalangan mereka.

Dalam tinjauan program keluarga mukmin, kami dapati ramai ibubapa yang bermasalah dalam menangani anak remaja mereka serta kebimbangan mereka dalam menguruskan anak remaja mereka. Dengan adanya konsep keluarga mukmin ini, kami berperanan untuk memberi khidmat nasihat, runding cara serta bimbingan kepada mereka yang memerlukan.